Hiburan adalah lumrah dan fitrah bagi manusia.Menurut pengertiannya, hiburan adalah : sesuatu yang dapat memberikan perasaan bahagia dan gembira kepada emosi manusia. Daripada definisi yang ringkas ini, perlu kita cakna bahawa banyak sebenarnya hiburan di sekeliling kita. Variasi hiburan ini menyalurkan kesan yang positif terhadap emosi kita. Bukan sekadar nyanyian, lakonan mahupun tarian semata-mata, namun hobi serta kegemaran kita turut diklasifikasikan sebagai hiburan juga seperti memancing, berenang dan memasak.
Dalam konteks Malaysia, hiburan mempengaruhi semua lapisan masyarakat termasuk golongan muda yang dianggap sebagai golongan terpenting dalam struktur masyarakat negara ini. Bak kata orang, "pemuda tiang negara, pemudi harapan bangsa." menjadi bukti kewujudan generasi muda bukanlah satu kewujudan yang sia-sia malahan menjadi aspirasi dan tunjang keberhasilan sesebuah negara pada masa akan datang. Walaubagaimanapun, pengaruh negatif yang ada pada sesuatu hiburan hanya akan mengubah personaliti seseorang secara total, hasil dorongan nafsu yang membuak-buak. Oleh sebab kesan yang negatif lagi membimbangkan kepada rakyat, satu perhatian serius oleh kuasa masyarakat, kepala keluarga, diri sendiri dan pemerintah harus ditekankan supaya seluruh masyarakat tidak lagi hidup dalam kancah hiburan yang membawa kepada kemaksiatan.
Hiburan sebenarnya tidaklah dilarang dalam Islam. Islam sebagai agama yang syumul dan menepati kehendak masa serta keadaan setempat sentiasa meraikan keadaan lokal yang sesuai dengan fitrah sebagai manusia dan besederhana dalam berhibur. Ini bertepatan dengan suatu peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW :
Daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah saw telah masuk (menemui saya), ketika itu dua orang jariah (budak perempuan) sedang menyanyi- nyanyi (memperingati perang) Baath. Baginda (mendengar nyanyian) sambil berbaring ditempat baringku dan dipalingkan mukanya. (Tiba-tiba) masuk Abu Bakar r.a serta mengherdik saya dengan katanya serunai (mizmar) syaitan disisi nabi saw. Rasulullah saw mengadap Abu Bakar seraya berkata: Biarkan mereka menyanyi (tidak mengapa). Apabila keadaan Rasulullah saw agak selesa dan leka, aku mengisyaratkan dengan mataku kepada dua penyanyi tadi maka mereka pun berbenti menyanyi dan keluar (meninggalkan kami).(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Satu garis panduan mengenai hiburan wujud melalui maqasid fiqh yang menjaga mutu kehidupan seseorang manusia. Tiga penanda aras keperluan manusia alam konteks hiburan boleh dikategorikan kepada tiga bahagian :
i- Dhoruriyyat (darurat) - Hiburan itu adalah satu keperluan asasi. sekiranya tidak ada hiburan, mungkin akan menjejaskan perkara-perkara penting dalam hidup. Misalnya orang yang menjadikan Al-Quran sebagai hiburan seharian, sekiranya tidak membaca, mentadabbur Al-Quran dalam kehidupan akan menjadi satu masalah kepada produktiviti serta keberkesanan dalam menjalani hidup seharian. Maka hiburan pada waktu itu adalah bersifat dhoruri.
ii- Hajiyyat - sekiranya ada hiburan, akan menambahbaik dan memberi manfaat kepada manusia serta kehilangan hiburan akan memberi kesan juga, namun kesan itu hanya berlaku ke atas aspek-aspek yang kurang penting alam hidup. Kesan yang berlaku ini lebih ringan sekiranya dibandingkan dengan hiburan pada tahap Dhoruriyyat. Contohnya : ketiadaan Facebook masih tidak mengganggu kemashlahatan asas seseorang individu.
iii- Tahsiniyyat - sekiranya ada hiburan jauh menambahbaik dan memudahkan kehidupan seseorang, memberi kegembiraan yang berpanjangan namun tidak pula merosakkan kehidupan sekiranya hiburan ditinggalkan. Ianya pada waktu ini bersifat harus buat atau harus tinggal.
Daripada ketiga-tiga tahap maqasid ini dapat kita tentukan bahawa hiburan yang kita mahu, perlu dan wajib berada pada kedudukan yang mana kita berada sekarang. Apabila kita bijak mengaplikasikan ketiga-tiga penanda aras hiburan ini dalam arena hiburan, nescaya akan terhasillah satu fenomena hiburan yang terkawal, tidak merosakkan malah mendidik masyarakat kembali kepada Tuhan.
ISU SEMASA
Negara kita baru-baru ini dikejutkan dengan kehadiran PSY, seorang penghibur antarabangsa Korea yang terkenal dengan Oppa Gangnam Style di Malaysia. Anak-anak muda, tua dan dewasa turut terpengaruh dengan tarian Gangnam Style yang tidak bermotif dan kosong semata-mata.
Kemunculan hiburan seperti ini yang menyalahi syariah kerana menggalakkan percambahan kemaksiatan serta melalaikan manusia daripada kembali kepada Allah SWT cuma membawa masyarakat kepada masalah-masalah sosial yang semakin berakar umbi seperti :
i- percampuran lelaki dan perempuan tanpa batas
ii- lupa akan ibadah dan kewajiban kepada Allah
iii- senikatanya yang tidak membawa maksud yang baik serta menggunakan wanita-wanita yang berpakaian mencolok mata
Dalam isu hiburan ini, diri kita sendiri berperanan penting dalam memilih jalan hiburan yang betul serta menjamin jati diri kita sebagai seorang yang beradab ketimuran serta mempunyai prinsip agama yang tidak berbelah bahagi.
Daripada aspek keluarga pula, ketua keluarga haruslah sedar tanggungjawab diri mengemudi dirinya dan ahli keluarga daripada mendekati hiburan yang sia-sia serta mendidik sepenuh hati tentang hiburan yang mendidik jiwa serta memulihkan ahli keluarga daripada hiburan kosong yang tidak bermatlamat.
Masyarakat pula bertanggungjawab mengimarahkan dan meraikan hiburan yang bersifat Islamik, kontemporari dan kena pada jiwa seluruh struktur masyarakat. Hiburan seperti nyanyian, outing, berkebun, berkayak dan sebagainya haruslah diselaraskan menurut apa yang tertulis di dalam Al-Quran dan Sunnah supaya struktur masyarakat yang besar itu tidak menerima kesan negatif daripada hiburan yang negatif.
Imam Ghazali menyatakan bahawa tanpa syariat, sebuah kerajaan akan hancur dan tanpa sebuah kerajaan, syariat akan lenyap. Oleh itu, amanah sebagai pemimpin harus dilaksanakan oleh badan-badan politik sama ada pemerintah mahupun pembangkang, NGO-NGO yang berkesedaran supaya turut menjalin kerjasama yang baik untuk mendidik rakyat berskala besar kembali berjalan di atas jalan agama yang sesuai dengan kemahuan dan fitrah. Dengan sinergi yang berterusan, kefahaman Islam yang tinggi serta rasa kebertanggungjawaban menyampaikan dakwah kepada rakyat, seterusnya akan menimbulkan keinginan rakyat untuk beralih angin kepada hiburan yang menepati tuntutan Islam namun kontemporari dan sesuai dengan keperluan serta kehendak semasa.
Wallahu A'alam.
No comments:
Post a Comment