Monday, 18 February 2013

Hiburan : Satu Solusi Ringkas


Hiburan adalah lumrah dan fitrah bagi manusia.Menurut pengertiannya, hiburan adalah : sesuatu yang dapat memberikan perasaan bahagia dan gembira kepada emosi manusia. Daripada definisi yang ringkas ini, perlu kita cakna bahawa banyak sebenarnya hiburan di sekeliling kita. Variasi hiburan ini menyalurkan kesan yang positif terhadap emosi kita. Bukan sekadar nyanyian, lakonan mahupun tarian semata-mata, namun hobi serta kegemaran kita turut diklasifikasikan sebagai hiburan juga seperti memancing, berenang dan memasak.

Dalam konteks Malaysia, hiburan mempengaruhi semua lapisan masyarakat termasuk golongan muda yang  dianggap sebagai golongan terpenting dalam struktur masyarakat negara ini. Bak kata orang, "pemuda tiang negara, pemudi harapan bangsa." menjadi bukti kewujudan generasi muda bukanlah satu kewujudan yang sia-sia malahan menjadi aspirasi dan tunjang keberhasilan sesebuah negara pada masa akan datang. Walaubagaimanapun, pengaruh negatif yang ada pada sesuatu hiburan hanya akan mengubah personaliti seseorang secara total, hasil dorongan nafsu yang membuak-buak. Oleh sebab kesan yang negatif lagi membimbangkan kepada rakyat, satu perhatian serius oleh kuasa masyarakat, kepala keluarga, diri sendiri dan pemerintah harus ditekankan supaya seluruh masyarakat tidak lagi hidup dalam kancah hiburan yang membawa kepada kemaksiatan.

Hiburan sebenarnya tidaklah dilarang dalam Islam. Islam sebagai agama yang syumul dan menepati kehendak masa serta keadaan setempat sentiasa meraikan keadaan lokal yang sesuai dengan fitrah sebagai manusia dan besederhana dalam berhibur. Ini bertepatan dengan suatu peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW : 

Daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah saw telah masuk (menemui saya), ketika itu dua orang jariah (budak perempuan) sedang menyanyi- nyanyi (memperingati perang) Baath. Baginda (mendengar nyanyian) sambil berbaring ditempat baringku dan dipalingkan mukanya. (Tiba-tiba) masuk Abu Bakar r.a serta mengherdik saya dengan katanya serunai (mizmar) syaitan disisi nabi saw. Rasulullah saw mengadap Abu Bakar seraya berkata: Biarkan mereka menyanyi (tidak mengapa). Apabila keadaan Rasulullah saw agak selesa dan leka, aku mengisyaratkan dengan mataku kepada dua penyanyi tadi maka mereka pun berbenti menyanyi dan keluar (meninggalkan kami).(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Satu garis panduan mengenai hiburan wujud melalui maqasid fiqh yang menjaga mutu kehidupan seseorang manusia. Tiga penanda aras keperluan manusia alam konteks hiburan boleh dikategorikan kepada tiga bahagian :

i-  Dhoruriyyat (darurat) - Hiburan itu adalah satu keperluan asasi. sekiranya tidak ada hiburan, mungkin akan menjejaskan perkara-perkara penting dalam hidup. Misalnya orang yang menjadikan Al-Quran sebagai hiburan seharian, sekiranya tidak membaca, mentadabbur Al-Quran dalam kehidupan akan menjadi satu masalah kepada produktiviti serta keberkesanan dalam menjalani hidup seharian. Maka hiburan pada waktu itu adalah bersifat dhoruri.

ii- Hajiyyat - sekiranya ada hiburan, akan menambahbaik dan memberi manfaat kepada manusia serta kehilangan hiburan akan memberi kesan juga, namun kesan itu hanya berlaku ke atas aspek-aspek yang kurang penting alam hidup. Kesan yang berlaku ini lebih ringan sekiranya dibandingkan dengan hiburan pada tahap Dhoruriyyat. Contohnya : ketiadaan Facebook masih tidak mengganggu kemashlahatan asas seseorang individu.

iii- Tahsiniyyat - sekiranya ada hiburan jauh menambahbaik dan memudahkan kehidupan seseorang, memberi kegembiraan yang berpanjangan namun tidak pula merosakkan kehidupan sekiranya hiburan ditinggalkan. Ianya pada waktu ini bersifat harus buat atau harus tinggal.

Daripada ketiga-tiga tahap maqasid ini dapat kita tentukan bahawa hiburan yang kita mahu, perlu dan wajib berada pada kedudukan yang mana kita berada sekarang. Apabila kita bijak mengaplikasikan ketiga-tiga penanda aras hiburan ini dalam arena hiburan, nescaya akan terhasillah satu fenomena hiburan yang terkawal, tidak merosakkan malah mendidik masyarakat kembali kepada Tuhan.

ISU SEMASA

Negara kita baru-baru ini dikejutkan dengan kehadiran PSY, seorang penghibur antarabangsa Korea yang terkenal dengan Oppa Gangnam Style di Malaysia. Anak-anak muda, tua dan dewasa turut terpengaruh dengan tarian Gangnam Style yang tidak bermotif dan kosong semata-mata. 

Kemunculan hiburan seperti ini yang menyalahi syariah kerana menggalakkan percambahan kemaksiatan serta melalaikan manusia daripada kembali kepada Allah SWT cuma membawa masyarakat kepada masalah-masalah sosial yang semakin berakar umbi seperti :

i-   percampuran lelaki dan perempuan tanpa batas
ii-  lupa akan ibadah dan kewajiban kepada Allah
iii- senikatanya yang tidak membawa maksud yang baik serta menggunakan wanita-wanita yang berpakaian mencolok mata

Dalam isu hiburan ini, diri kita sendiri berperanan penting dalam memilih jalan hiburan yang betul serta menjamin jati diri kita sebagai seorang yang beradab ketimuran serta mempunyai prinsip agama yang tidak berbelah bahagi. 

Daripada aspek keluarga pula, ketua keluarga haruslah sedar tanggungjawab diri mengemudi dirinya dan ahli keluarga daripada mendekati hiburan yang sia-sia serta mendidik sepenuh hati tentang hiburan yang mendidik jiwa serta memulihkan ahli keluarga daripada hiburan kosong yang tidak bermatlamat.

Masyarakat pula bertanggungjawab mengimarahkan dan meraikan hiburan yang bersifat Islamik, kontemporari dan kena pada jiwa seluruh struktur masyarakat. Hiburan seperti nyanyian, outing, berkebun, berkayak dan sebagainya haruslah diselaraskan menurut apa yang tertulis di dalam Al-Quran dan Sunnah supaya struktur masyarakat yang besar itu tidak menerima kesan negatif daripada hiburan yang negatif.

Imam Ghazali menyatakan bahawa tanpa syariat, sebuah kerajaan akan hancur dan tanpa sebuah kerajaan, syariat akan lenyap. Oleh itu, amanah sebagai pemimpin harus dilaksanakan oleh badan-badan politik sama ada pemerintah mahupun pembangkang, NGO-NGO yang berkesedaran supaya turut menjalin kerjasama yang baik untuk mendidik rakyat berskala besar kembali berjalan di atas jalan agama yang sesuai dengan kemahuan dan fitrah. Dengan sinergi yang berterusan, kefahaman Islam yang tinggi serta rasa kebertanggungjawaban menyampaikan dakwah kepada rakyat, seterusnya akan menimbulkan keinginan rakyat untuk beralih angin kepada hiburan yang menepati tuntutan Islam namun kontemporari dan sesuai dengan keperluan serta kehendak semasa.

Wallahu A'alam.

Friday, 1 February 2013

KEBEBASAN MEDIA DI MALAYSIA KINI : REALITI ATAU FANTASI ?

Bismillahirrahmanirrahim

Kebergantungan sesebuah struktur organisasi kepada media amatlah tinggi. Di samping menjadi sumber kepada hiburan dan pendidikan, media memainkan peranan penting dalam penyebaran pengaruh yang pantas, pengumuman berita-berita penting dan ampuh dalam memanipulasi politik.

Media adalah pendidik rakyat. Namun, pada masa yang sama jangan lupa bahawa media sangat utuh dalam menjalankan proses indoktrinasi, pembasuhan otak dan pembodohan yang begitu sadis serta membunuh setiap pemikiran rasional. Rakyat Malaysia juga tidak terkecuali dalam aksi-aksi indoktrinasi, pembodohan dan 'pembunuhan akal rasional' di samping faedah-faedah yang telah disebutkan di atas. Saya cuba mengupas dengan ilmu dan tahap kefahaman saya sebagai seorang rakyat Malaysia. Walaupun mungkin ianya tidaklah bersifat akademik, namun dalam kekurangan haruslah ada kematangan dan cuba bersikap rasional serta kritikal dalam memahami sesuatu isu.

PERUNTUKAN KEBEBASAN MEDIA DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Memandangkan Perlembagaan Malaysia merupakan undang-undang paling tinggi yang digunapakai dan dirujuk sebagai 'perlembagaan paling mulia', saya cuba meneliti artikel yang memberikan kuasa kepada kebebasan media. Alhamdulillah melalui sedikit pembacaan dan pemahaman, kita sedar bahawa ada peruntukan untuk kebebasan operasi media melalui Bahagian 5 Perkara 10 (1), Perlembagaan Malaysia (rujukan : wikisource.org) :

Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)—
(a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;
(b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata;
(c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan
Melalui peruntukan ini kita dapat memahami bahawa setiap individu bergelar warganegara Malaysia berhak untuk menyuarakan pandangan dan pendapat selagi mana tidak mengganggu gugat keamanan dan kestabilan negara. Jadi tidak salah untuk setiap lapisan masyarakat menyuarakan pendapat, pandangan, kritikan, komen dan apa jua reaksi bersifat komunikasi terhadap apa-apa isu (biasanya isu politik atau isu lain yang dipolitikkan berdasarkan tindak balas rakyat Malaysia) selagi tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan.

MEDIA DAN CABANG-CABANGNYA DI MALAYSIA

Sepertimana yang telah disebutkan dalam pendahuluan, rangkaian media di mana-mana negara termasuklah Malaysia amatlah luas meliputi pelbagai jenis alat yang digunakan untuk meningkatkan peratus ketersampaian maklumat kepada orang awam. Melalui pemerhatian saya, antara media yang memberi pengaruh di Malaysia :

  1. Media cetak : surat khabar (Utusan Malaysia, Harakah, Berita Harian, Sinar Harian dll). Akhbar-akhbar seperti ini ada yang dimiliki oleh parti politik, persendirian NAMUN mempunyai hubungan perniagaan berlatarbelakangkan politik dan akhbar neutral (bebas).
  2. Media elektronik : media yang menyampaikan maklumat melalui alatan elektronik seperti televisyen, radio dan internet kepada skala masyarakat yang besar.
Televisyen   :  Kepunyaan RTM seperti TV1, Media Prima : TV3, ntv7, 8TV, Astro : saluran-saluran lokal dan global.
Radio           :  Kepunyaan RTM seperti radio negeri-negeri, Media Prima : HotFM dll, Milik Persendirian (contoh : Ananda Krishnan memiliki HitzFM) dll.
Internet        : Media sosial (Facebook, Twitter, Instagram dll) serta laman-laman web yang pelbagai.

Media yang setakat ini menjadi media utama adalah televisyen, radio dan surat khabar.

Melalui media-media ini, ianya akhirnya menjadi media massa iaitu sebuah gagasan media yang menggabungkan semua jenis media yang ada. Oleh kerana itulah tidak hairan media memainkan peranan penting untuk menjadi agen pembangun atau pemusnah rakyat.

TAHAP KEBEBASAN MEDIA DI MALAYSIA

Berdasarkan kepada kajian sebuah kumpulan antarabangsa yang memperjuangkan hak kebebasan demokrasi iaitu Freedom House, Malaysia telah diletakkan pada tangga ke-141 pada tahun 2010 dalam indeks kebebasan media dan diklasifikasikan dalam status 'Not Free' (Tidak Bebas). Pada tahun 2012, kajian yang dijalankan oleh Freedom House menunjukkan Malaysia secara keseluruhannya :

  • Kebebasan Bersuara Secara Umum : 'Partly Free' (Separa Bebas)
  • Kebebasan Bersuara Melalui Media Utama : 'Not Free' (Tidak Bebas)
  • Kebebasan Bersuara Melalui Internet : 'Partly Free' (Separa Bebas)
Status Kebebasan Media Utama di Malaysia
sumber : http://www.freedomhouse.org/report/freedom-press/2012/Malaysia
Status Kebebasan Internet di Malaysia
sumber : http://www.freedomhouse.org/report/freedom-net/2012/Malaysia


Status Umum Kebebasan Media di Malaysia (2012)
sumber : http://www.freedomhouse.org/country/Malaysia
 
Melalui diagram dan fakta di atas, secara asasnya dapat kita katakan bahawa kebebasan media di Malaysia masih berada pada tahap yang masih tidak memungkinkan rakyat mendapat informasi yang telus. Pengimbangan aliran maklumat yang sahih dan berautoriti masih lagi perlahan pertumbuhannya namun medan-medan sosial yang lebih terbuka seperti Facebook melahirkan corak perdebatan dan persoalan terhadap kredibiliti kepimpinan negara di bawah Barisan Nasional dan mencetuskan satu pola check and balance yang seimbang antara koalisi Barisan Nasional serta proksi pembangkang iaitu Pakatan Rakyat.

KESIMPULAN

Daripada sedikit pembacaan, kefahaman dan perkongsian ilmiyah yang ringkas ini, saya konklusikan bahawa setakat ini, kebebasan media di Malaysia masih lagi terbatas pada sifat-sifat yang primitive, masih lagi terikat pada 'tali-tali ghaib' yang mengawal media-media utama. Keadaan yang berlaku ini tidak memungkinkan ketelusan dalam penerimaan maklumat yang sahih oleh masyarakat dan mempengaruhi tindakan rakyat dalam mengadili sokongan terhadap pengaruh politik yang ada di Malaysia.

Akibat daripada penyalahgunaan media dan kekangan terhadap ketelusan serta kebebasan bersuara melalui jalan komunikasi bercetak mahupun elektronik, media menjadi boneka kepada mereka yang berkepentingan peribadi dan tamak dalam mengekalkan kuasa. Media yang menipu, dimanipulasi oleh mana-mana parti pemerintah adalah satu kezaliman yang harus dibasmi supaya generasi akan datang tidak lagi melalui proses-proses pembodohan dan pembasuhan otak yang sadis secara besar-besaran.

Media yang masih berpaut pada fantasi, namun suatu hari nanti ianya akan berpijak pada realiti.