Tuesday, 29 January 2013

Makrifatullah : Mengenal Allah SWT

Bismillahirrahmanirrahim.

Ramai yang berkata : Aku kenal Allah. Allah itu adalah Tuhanku.
Ramai yang berkata : Aku kenal Allah. Allah itu adalah Penciptaku.
Ramai yang berkata : Aku kenal Allah. Allah itu adalah Pemilik segala kerajaan.
Ramai yang berkata : Aku kenal Allah. Allah itu adalah Pemberi rezeki.

Ramai lagi yang menafsirkan Allah SWT dengan aneka tafsiran yang semestinya kembali kepada puji-pujian kepadaNya. Tidak salah, malah betul semuanya. Akan tetapi dalam banyak-banyak yang betul itu, pasti ada satu jawapan yang paling terbaik untuk mengenal Allah SWT. Berkata Syeikh Ibrahim Al-Laqqani pengarang kitab Jauharah At-Tauhid (Mutiara Tauhid) :

15 - Maka renunglah pada diri kamu, kemudian berpindahlah kepada merenung alam tinggi kemudian kepada
16 - alam rendah, nescaya kamu dapati padanya satu perbuatan yang dicipta tanpa contoh, yang kukuh. Walaubagaimanapun padanya terdiri tanda-tanda ketiadaan (binasa).

Pada satu hadith riwayat Ibnu Abbas RA Nabi Saw bersabda:

"Berfikirlah tentang makhluk ALLAH dan jangan sekali-kali berfikir tentang Zat ALLAH, kerana kalian tidak akan dpt menduga-duga dengan sebenar-benarnya."
Untuk mengenal Allah SWT, lebih bijak dan sejahtera untuk kita lebih merenung kepada ciptaanNya seperti langit, bumi, laut, cahaya, bunyi, akal, masa, makanan, udara, bau dan apa jua yang dialami oleh manusia. Dari pemerhatian itu, lama kelamaan kita akan sedar bahawa akan ada sifat-sifat makhluk pada semua yang dialami itu. Antara sifat makhluk itu ialah :

1. Berdiri padanya sifat kebinasaan.
 Contoh : Komputer yang baru dibeli sudah pasti akan elok fungsinya. Akan tetapi setelah 5 tahun, biasanya computer akan rosak atau kurang berfungsi.

2. Dicipta daripada tiada kepada ada.
Contoh : Perkara Sam'iyyat (perkhabaran perkara ghaib oleh Rasulullah SAW) seperti syurga. Syurga adalah tempat beristirehat bagi orang yang beriman selama-lamanya.
“Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka, bagi mereka syurga yang dibawahnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda terhadap mereka dan mereka pun reda terhadap Allah, maka itulah kejayaan yang besar.” (al-Maaidah:119)
Daripada ayat itu, disimpulkan bahawa walaupun syurga itu kekal selama-lamanya, namun sifatnya adalah diciptakan daripada tiada kepada ada.

Alam tinggi yang dimaksudkan oleh Syeikh Ibrahim Al-Laqqani ialah langit, planet, cakerawala, galaksi dan alam semesta di luar gelendung bumi kita yang sungguh menakjubkan. Buktinya, alam semesta yang begitu luas ini mengandungi beribu-ribu galaksi. Di dalam satu galaksi sahaja terkandung berbilion bintang dan setiap satu bintang memegang sistem solarnya yang tersendiri. Maka dalam sistem solar itu pula terdapat planet-planet yang berjalan di atas orbitnya sendiri dengan perkiraan dan ketepatan yang tidak terhitung hebatnya !

Dan matahari; ia beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui; (38) Dan bulan pula Kami takdirkan ia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya seperti tandan yang kering. (39) matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing. (40)
Surah Yasin (Ayat 38-40)

Kemudian, daripada langit yang tinggi kita turun pula melihat alam rendah iaitu bumi, laut, diri kita sendiri, burung, kucing, tumbuh-tumbuhan. Di situ juga kita dapat lihat bahawa betapa kompleksnya ciptaan-ciptaan tersebut yang masih tidak dapat dirungkai misterinya oleh akal manusia. Sistem pencernaan manusia, sistem otak, otot dan peredaran darah menunjukkan kerumitan kita untuk merungkai diri kita sebagai ciptaan yang begitu hebat. Konklusinya, sememangnya ada Pencipta yang menciptakan semua ini !

Pemerhatian demi pemerhatian terhadap makhluk akan membawa kita kepada satu kesimpulan bahawa pasti ada satu Maha Kuasa yang menciptakan aturan-aturan yang sebegitu sempurna ! Namun siapakah yang menciptakan itu ? Manusiakah ? Atau yang disebut saintis berhaluan atheist sebagai 'Artificial Intelligence (AI)' ? Maka, Islam mengajar kita untuk beriman dengan kewujudan pencipta yang tunggal iaitu Allah SWT. Keimanan ini wujud seiring dengan logik akal bahawa dengan ketuhanan yang Esa, sistem bumi ini dapat berjalan dengan sempurnanya.

Agama-agama lain yang mengamalkan berbilang Tuhan (polytheisms) seperti agama Greek, Majusi (Parsi), Hindu, Kristian, Buddha dan Shinto mengisahkan peperangan antara Tuhan-Tuhan mereka, penganiayaan oleh Tuhan kepada Tuhan yang lain, sikap ketamakan Tuhan serta pertindihan antara makhluk dan Tuhan yang menunjukkan kepada kita bahawa fikrah ketuhanan berbilang adalah sama sekali menyalahi sifat Rabb seperti yang ditunjukkan oleh Islam yang bersifat tunggal/esa (monotheism) serta menunjukkan kelemahan entiti bergelar 'Tuhan'. Islam mengajarkan bahawa Allah SWT itu berkuasa di atas segala-galanya, tiada yang dapat menandinginya dan Allah SWT dengan segala sifat kesempurnaanNya dan pertimbanganNya yang Maha Mengetahui mengatur fungsi-fungsi makhluk dengan sebaik-baiknya.

“Tidaklah Allah mempunyai anak dan tidak pula ada Tuhan di samping-Nya. (Kerana jika mempunyai anak dan ada Tuhan selain-Nya), maka masing-masing Tuhan akan membawa ciptaan-Nya sendiri dan sebagian akan lebih unggul dari sebagian lainnya.” Surah Al-Mukminun 91

Oleh itu, marilah kita betulkan kembali pengenalan kita kepada Allah SWT supaya kita tidak tersalah anggap tentang tujuan kita beribadah, tujuan penciptaan dan sebagai alat muhasabah yang paling berkesan bagi hati dan rohani.