Tuesday, 19 March 2013

KISAH RASULULLAH DAN MARTABAT NON MUSLIM

PERJANJIAN HUDAIBIYAH 'MERUGIKAN' UMAT ISLAM

Abu Jandal bin Suhail, anak Suhail bin Amr yang mewakili Quraisy berlari apabila mendengar tentera Islam berada di Mekah untuk mendapatkan perlindungan. Pada waktu itu, beliau terlewat kerana perjanjian sudah disepakati. 

Abu Jandal merayu kepada Rasulullah SAW untuk melindunginya kerana perjanjian itu merugikan umat Islam pada zahirnya. Suhail berkata :

"Adakah persetujuan dengan berkata-kata tidak cukup bagi kamu?"

Dijawab oleh Rasulullah :

" Ya, perjanjian secara lisan cukup bagi kami. Ambil semula anak kamu. " Maka Suhail menarik anaknya ke khemah Quraisy. Suhail menjerit, "Wahai Muhammad, adakah kamu mengembalikan aku kepada orang-orang kafir yang mereka memfitnahku kepada agamaku? "

Rasulullah SAW menjawab, " Wahai Abu Jandal bersabarlah dan ambil ganjaran daripada Allah. Semoga Allah memberikan jalan keluar kepada kamu dan sahabatmu."
Abu Jandal tidak dapat menerimanya lalu terus menjerit berulang kali. Umat Islam dari kejauhan lemah tidak bermaya melihat saudara Muslim mereka dibawa pergi di hadapan mata mereka sendiri.

Perjanjian itu ditandatangani dengan masa keamanan selama 10 tahun yang diingkari oleh Quraisy selepas 2 tahun.

UMAT ISLAM TIDAK MAHU BERTAHALLUL

Rasulullah SAW memerintahkan umat Islam bertahallul dan bertolak semula ke Madinah. Kefahaman dan ketaatan para sahabat kepada Nabi SAW teruji apabila pertama kali mereka ingkar arahan baginda. Rasulullah mengulangi lagi arahannya namun tidak ada yang bangkit sehingga baginda menjadi sedih.

Ummu Salamah yang menemani baginda dengan kebijaksanaannya menyarankan supaya Rasulullah bercukur dahulu. Apabila sahabat melihat tukang cukur mencukur kepala baginda, maka mereka turut bergegas dan bercukur. Walaubagaimanapun, masih ada yang tidak bercukur, hanya mengguntingkan rambut lantas baginda bersabda, " Allah merahmati mereka yang bercukur."

Sahabat bertanya : " dan mereka yang bergunting, wahai Muhammad?"
Rasulullah menjawab : " Allah merahmati mereka yang bercukur."
Sahabat bertanya 3 kali kepada baginda, lalu baginda menyebut " dan juga mereka yang bergunting."

PENGAJARAN

1. Urusan yang dilaksanakan Rasulullah SAW kadangkala dilihat merugikan ummah, akan tetapi hasilnya datang selepas bertahun-tahun. Setiap urusan agama pasti ada hikmahnya, jangan dilihat serta merta sebagai sebuah kerugian bagi orang-orang Islam.

2. Umat Islam yang tidak memahami tindakan Rasulullah SAW yang bijaksana dan berhikmah pasti akan memberontak serta memprotes arahan baginda. Oleh itu, umat Islam harus memperhalusi dimensi pandangan kepada sesuatu isu yang berlaku secara waqi'.

3. Hasil Perjanjian Hudaibiyah muncul dan menguntungkan Madinah :

a. Dakwah tersebar luas tanpa sebarang peperangan dan halangan.
b. Operasi peperangan dan hukuman ke atas puak kabilah yang menyertai peperangan Ahzab dapat dijalankan tanpa kesulitan disebabkan ketiadaan sekutu mereka Quraisy.
c. Hubungan diplomasi dan utusan dihantar bagi menyebarkan Islam kepada pemerintah luar.
d. Nama Islam semakin mulia dan diiktiraf oleh puak lain di Semenanjung Arab.

No comments:

Post a Comment