Kebergantungan sesebuah struktur organisasi kepada media amatlah tinggi. Di samping menjadi sumber kepada hiburan dan pendidikan, media memainkan peranan penting dalam penyebaran pengaruh yang pantas, pengumuman berita-berita penting dan ampuh dalam memanipulasi politik.
Media adalah pendidik rakyat. Namun, pada masa yang sama jangan lupa bahawa media sangat utuh dalam menjalankan proses indoktrinasi, pembasuhan otak dan pembodohan yang begitu sadis serta membunuh setiap pemikiran rasional. Rakyat Malaysia juga tidak terkecuali dalam aksi-aksi indoktrinasi, pembodohan dan 'pembunuhan akal rasional' di samping faedah-faedah yang telah disebutkan di atas. Saya cuba mengupas dengan ilmu dan tahap kefahaman saya sebagai seorang rakyat Malaysia. Walaupun mungkin ianya tidaklah bersifat akademik, namun dalam kekurangan haruslah ada kematangan dan cuba bersikap rasional serta kritikal dalam memahami sesuatu isu.
PERUNTUKAN KEBEBASAN MEDIA DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA
Memandangkan Perlembagaan Malaysia merupakan undang-undang paling tinggi yang digunapakai dan dirujuk sebagai 'perlembagaan paling mulia', saya cuba meneliti artikel yang memberikan kuasa kepada kebebasan media. Alhamdulillah melalui sedikit pembacaan dan pemahaman, kita sedar bahawa ada peruntukan untuk kebebasan operasi media melalui Bahagian 5 Perkara 10 (1), Perlembagaan Malaysia (rujukan : wikisource.org) :
Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)—
- (a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;
- (b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata;
- (c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan
MEDIA DAN CABANG-CABANGNYA DI MALAYSIA
Sepertimana yang telah disebutkan dalam pendahuluan, rangkaian media di mana-mana negara termasuklah Malaysia amatlah luas meliputi pelbagai jenis alat yang digunakan untuk meningkatkan peratus ketersampaian maklumat kepada orang awam. Melalui pemerhatian saya, antara media yang memberi pengaruh di Malaysia :
- Media cetak : surat khabar (Utusan Malaysia, Harakah, Berita Harian, Sinar Harian dll). Akhbar-akhbar seperti ini ada yang dimiliki oleh parti politik, persendirian NAMUN mempunyai hubungan perniagaan berlatarbelakangkan politik dan akhbar neutral (bebas).
- Media elektronik : media yang menyampaikan maklumat melalui alatan elektronik seperti televisyen, radio dan internet kepada skala masyarakat yang besar.
Radio : Kepunyaan RTM seperti radio negeri-negeri, Media Prima : HotFM dll, Milik Persendirian (contoh : Ananda Krishnan memiliki HitzFM) dll.
Internet : Media sosial (Facebook, Twitter, Instagram dll) serta laman-laman web yang pelbagai.
Media yang setakat ini menjadi media utama adalah televisyen, radio dan surat khabar.
Melalui media-media ini, ianya akhirnya menjadi media massa iaitu sebuah gagasan media yang menggabungkan semua jenis media yang ada. Oleh kerana itulah tidak hairan media memainkan peranan penting untuk menjadi agen pembangun atau pemusnah rakyat.
TAHAP KEBEBASAN MEDIA DI MALAYSIA
Berdasarkan kepada kajian sebuah kumpulan antarabangsa yang memperjuangkan hak kebebasan demokrasi iaitu Freedom House, Malaysia telah diletakkan pada tangga ke-141 pada tahun 2010 dalam indeks kebebasan media dan diklasifikasikan dalam status 'Not Free' (Tidak Bebas). Pada tahun 2012, kajian yang dijalankan oleh Freedom House menunjukkan Malaysia secara keseluruhannya :
- Kebebasan Bersuara Secara Umum : 'Partly Free' (Separa Bebas)
- Kebebasan Bersuara Melalui Media Utama : 'Not Free' (Tidak Bebas)
- Kebebasan Bersuara Melalui Internet : 'Partly Free' (Separa Bebas)
![]() |
| Status Kebebasan Media Utama di Malaysia sumber : http://www.freedomhouse.org/report/freedom-press/2012/Malaysia |
![]() |
| Status Kebebasan Internet di Malaysia sumber : http://www.freedomhouse.org/report/freedom-net/2012/Malaysia Status Umum Kebebasan Media di Malaysia (2012) sumber : http://www.freedomhouse.org/country/Malaysia |
KESIMPULAN
Daripada sedikit pembacaan, kefahaman dan perkongsian ilmiyah yang ringkas ini, saya konklusikan bahawa setakat ini, kebebasan media di Malaysia masih lagi terbatas pada sifat-sifat yang primitive, masih lagi terikat pada 'tali-tali ghaib' yang mengawal media-media utama. Keadaan yang berlaku ini tidak memungkinkan ketelusan dalam penerimaan maklumat yang sahih oleh masyarakat dan mempengaruhi tindakan rakyat dalam mengadili sokongan terhadap pengaruh politik yang ada di Malaysia.
Akibat daripada penyalahgunaan media dan kekangan terhadap ketelusan serta kebebasan bersuara melalui jalan komunikasi bercetak mahupun elektronik, media menjadi boneka kepada mereka yang berkepentingan peribadi dan tamak dalam mengekalkan kuasa. Media yang menipu, dimanipulasi oleh mana-mana parti pemerintah adalah satu kezaliman yang harus dibasmi supaya generasi akan datang tidak lagi melalui proses-proses pembodohan dan pembasuhan otak yang sadis secara besar-besaran.
Media yang masih berpaut pada fantasi, namun suatu hari nanti ianya akan berpijak pada realiti.



No comments:
Post a Comment